Sabtu, 2 Julai 2011

Lawatan ke Ladang Anggur Tasik Beris, Sik

Seramai 38 orang ahli PPK Unit 18 Seberang Tok Soh menyertai lawatan ke Ladang Anggur Tasik Beris, Sik. Rombongan menaiki bas di Kampung Seberang Tok Soh pada jam 8.30 pagi menuju ke Sik dan sampai pada jam 10.00 pagi. Rombongan berhenti untuk minum pagi di pekan Sik selama 30 minit sebelum meneruskan perjalanan ke lokasi.

Ladang anggur terletak lebih kurang 15 km dari Pekan Sik melalui jalan ke Gulau/Nami. Setiap pengunjung dikena tiket bayaran masuk sebanyak RM3.00 Dewasa dan RM1.50 untuk kanak kanak 7 hingga 12 tahun. Selain dari melawat ladang anggur (sebahagian sahaja) pengunjung juga boleh membeli buah anggur dan beberapa produk yang diperbuat dari anggur termasuk juice, kordial dan kek. Benih anggur beserta baja juga dijual dengan harga RM25.00 setiap satu tetapi mereka kehabisan stok dan hanya akan ada dua bulan dari sekarang.

Ladang seluas 4 ekar memulakan perniagaan 4 tahun lalu dipunyai oleh syarikat swasta. Syarikat tersebut juga mempunyai sebuah lagi ladang di Sungai Senang tidak jauh dari sini. Hanya ladang di Kampung Ternas ini yang menerima lawatan pengunjung. Hasil buah anggur dari Ladang Sungai Senang dibawa ke sini untuk dijual kepada pengunjung.

Ini adalah salah satu dari dua ladang anggur disebelah utara Malaysia. Satu lagi di Perlis yang dipunyai oleh Jabatan Pertanian. Ladang anggur di Perlis ini tidak menerima pelawat atau menjual hasil tanaman. Ladang tersebut hanya menerima pelawat dari jabatan tertentu.






Mengikut pekerja disini, benih dan variety anggur yang ditanam diambil dari negara jiran Thailand. Syarikat ini menggunakan kepakaran pekerja dari Thailand, Indonesia dan India. Seramai 21 orang bekerja disini termasuk dibahagian jualan dan pentadbiran. 

Dua jenis anggur diusahakan iaitu jenis hijau dan hitam. Anggur mengeluarkan buah selepas satu tahun dan perlu penjagaan rapi.  Jarak setiap pokok perlu mencukupi untuk akar dan dahan. Para diperlukan untuk dahan dan buah. Tanah sentiasa lembab dan keseluruhan ladang di tutup dengan plastik lut sinar. Tujuan melindungi pokok dari hujan yang boleh menyebabkan daun rosak. Bumbung bertutup juga untuk mengawal suhu. Baja di salurkan pada jarak tertentu dari pokok dan vitamin pokok di gunakan. Dahan dan cabang  perlu di buang mengikut pusingan masa tertentu.

Pengeluaran boleh di rancang. Ini bermakna buah anggur yang dikeluarkan tidak mengikut musim. Boleh di olah untuk setiap masa.






Rombongan selamat sampai kembali ke Kampung Seberang Tok Soh pada 2.30 petang.