Berikut adalah sedikit pengetahuan yang diperolehi semasa lawatan singkat tersebut.
Bangsal ditutup dengan plastik hitam dan hanya membenarkan 10% cahaya luar masuk. Lebih sesuai jika bangsal didirikan dikawasan yang redup yang dikelilingi oleh pokok seperti di lorong lorong kebun getah dan jauh dari pencemaran.
Setakat ini setiap bengkel dimuatkan sehingga 2,500 bongkah cendawan.
Lantai bangsal disimin untuk mengelakkan serangan anai-anai, lipas, tikus serta lain lain binatang. Lantai simen juga menakung air menjadikan bangsal lembab. Kebersihan bengkel mestilah diberi keutamaan. Dilarang menggunakan sebarang bahan kimia atau racun serangga apabila cendawan mula di usahakan.
Lantai mestilah selalu dibersihkan. Periksa jika terdapat tempat binatang bertelur dan membiak. Hapuskan secara manual jika ada. Pintu bangsal dikunci untuk menghalang sesiapa yang tidak berkenaan memasuki kerana ia boleh menjejaskan tanaman cendawan secara kontimenasi.
Bangsal di lengkapi dengan sistem sprinkler menggunakan motor letrik 1 hp. Semburan dibuat diatas bumbung sekurang kurangnya untuk tempuh 30 minit bertujuan menyejukkan suhu di dalam bangsal. Sprinkler dihidupkan apabila cuaca mulai panas (lebih kurang jam 11.00 pagi) dan pada jam 3.00 petang
Rak untuk meletakkan bongkah botol cendawan menggunakan kayu berukuran 2" x 3" x 6 kaki tinggi digunakan sebagai tiang dan kayu 1" x 2" sebagai alang. Dua rak dicantumkan dan membolehkan ia ditegakkan. Setiap kompartment sepanjang 4 kaki dan boleh tujuh lapisan bongkah disusun. Setiap bongkah botol mempunyai berat hampir satu kilogram.
Ruang secukupnya hendaklah disediakan apabila memasang rak rak di dalam bangsal. Ruang diperlukan untuk membuat kerja kerja termasuk menyusun, memeriksa, mengeluarkan botol yang rosak, mengutip hasil, menyiram, membersihkan dan lain lain. Sekurang-kurangnya 3 kaki (1 meter) ruang diantara rak dan 0.8 meter diperlukan antara dinding dan rak.
Bongkah benih dibeli dari pembekal di sekitar Sungai Petani termasuk dari Gurun dan Pendang. Bukan semua benih yang dibeli menghasilkan cendawan. Biasanya 10% akan dibuang. Pembekal selalunya menghantar lebih 10% dari kuantiti yang dipesan.
Apabila bongkah benih dihantar ke bangsal ia di letakkan diatas lantai untuk menentukan ianya sesuai sebelum dipindahkan ke rak. Penutup botol dibuka apabila benih mula keluar selepas dua minggu atau lebih.
Apabila cendawan dituai, penutup botol hendaklah dibersihkan dengan rapi supaya ia tidak menghalang pengeluaran cendawan seterusnya. Setiap bongkah boleh mengeluarkan sehingga lebih lima kali atau lebih.
Cendawan menjadi kering dan tidak bermutu jika suhu didalam bengkel melebihi 38 darjah celcius. Cendawan menjadi hitam dibahagian pangkal dan pecah. Suhu bangsal yang panas juga boleh menjejaskan pembesaran cendawan. Terdapat tiga gred utama cendawan yang dihasilkan. Gred A berukuran garispusat 50 mm, manakala Gred B berukuran garispusat antara 35 mm hingga 50 mm dan Gred C berukuran garispusat kurang dari 35 mm.
Bongkah benih cendawan yang rosak |
Setakat ini tiada sebarang masalah untuk pasaran cendawan disekitar Sungai Petani. Seringkali permintaan melebihi pasaran. Disamping dijual dipasar basah dan pasar hari atau pasar minggu, permintaan terus dari restauren makanan Thai adalah tinggi. Hotel yang terdapat disekitar Sungai Petani menawarkan harga paling tinggi untuk cendawan gred A.
Untuk meningkatkan harga jualan, cendawan di pek di dalam bekas plastik berukuran 7 x 9 dan di seal.
PPK Unit 18 mengucapkan terima kasih kepada Encik Zahari kerana memberi sambutan dan layanan yang mesra. Segala ilmu yang dikongsi amatlah berharga dan berguna. Beliau mengalu-alukan lawatan dimasa hadapan dan berjanji untuk memberikan kerjasama serta tunjuk ajar kepada sesiapa yang berminat untuk menceburkan diri dalam tanaman cendawan.
Masih banyak ilmu perlu ditimba mengenai tanaman cendawan.